By Editor • July 21, 2010
Kita mungkin pernah mengetahui seseorang yang amat kuat perasaan atau kepercayaannya terhadap sesuatu, atau kita sendiri mungkin bersifat demikian.
Istilah Inggerisnya, passionate, yang menurut Kamus Oxford, ´a passionate person has very strong feelings or beliefs´; atau, ´a passionate feeling or statement is very tense and may be intended to persuade someone or make them feel strong about something.´
Kamus Inggeris-Melayu Dewan pula menyifatkannya ´keghairahan yang amat sangat´, atau ´penuh semangat, beria-ia, berkobar-kobar, berapi-api.´
Kata-kata itu, menurut kedua-dua kamus tersebut, boleh dipakai bagi maksud ´keberahian´.
Hal atau kepercayaan yang membuat seseorang itu menjadi passionate atau ´ghairah´ bukanlah semestinya buruk. Malah, dalam banyak hal ia bermula sebagai niat yang baik: misalnya, patriotisme dan mahu memajukan bangsa dan negara, atau sumpah setia kepada sesuatu atau orang yang dicintai.
Bagaimanapun, keghairahan juga boleh membunuh.
´Bunuh´ yang dimaksudkan di sini bukan sahaja kematian jasmani pada diri orang yang ghairah itu atau orang lain yang menjadi mangsanya, malah kematian dalam bentuk simbolik seperti musnahnya sifat rasional, daya usaha, sifat kritikal dan kreativiti.
Tragedi Romeo dan Juliet memaparkan bagaimana kedua-dua kekasih yang ghairah bercinta lebih bersedia menelan racun membunuh diri daripada terpisah oleh tekanan persengketaan keluarga yang mahu memisahkan mereka.
Dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, Sultan Melaka jatuh berahi kepada Tun Teja hanya sekadar mendengar gambaran kejelitaan puteri Pahang itu. Akibat berahinya itu, baginda hilang tumpuan kepada urusan pemerintahan negeri, dan hanya kembali pulih setelah Hang Tuah membawa Tun Teja ke Melaka dengan melarikannya dari Pahang.
Hang Tuah, misalnya, ghairah melaksanakan tanggungjawabnya mentaati raja dengan mendedikasikan hidupnya semata-mata demi menjunjung titah raja, baik atau buruk.
Dia, misalnya, melarikan tunangan orang, Tun Teja, demi memulihkan raja yang mabuk cinta. Kemudian, dia membunuh Jebat, rakan seperjuangannya, demi memadam malu raja akibat penderhakaan Jebat yang mahu membela ´kematian´ Tuah sendiri yang terhukum kerana difitnah.
Dalam Hikayat Hang Tuah, Tuah dan juga Jebat ghairah memiliki Taming Sari, keris yang dikatakan mempunyai pelbagai kesaktian sehingga dengan menggunakan kesaktian keris itu segala kapal lanun dan musuh kerajaan dapat dikesan dan dimusnahkan.
Sejarah pascamoden tidak kurang dengan contoh yang sama.
Stamford Raffles yang dikatakan ´membuka dan membangun Singapura´ ghairah menonjolkan kepintarannya sebagai produk ideologi penjajahan kapitalis yang melihat dunia sebagai barangan dan pasaran yang mesti dijinakkan agar boleh dieksploitasi sebanyak mungkin.
Keghairahan kepada ‘kepintaran’ dirinya itu membuatnya membunuh persepsi orang lain terhadap Dunia Melayu yang dikuasainya. Katanya, orang Melayu merupakan masyarakat yang tidak terurus yang memerlukan campurtangan Inggeris yang boleh membantu membangunkan minda mereka yang mandul dan sia-sia. Skema Raffles yang demikian itulah di antara yang memperteguh mitos peribumi (Melayu) malas.
Keghairahannya itu juga menyebabkan Raffles menyewa khas kapal The Fame, bukan saja bagi membawa pulang isterinya Sophia ke England, tetapi merompak banyak khazanah Dunia Melayu yang kemudian kononnya musnah akibat kebakaran kapal itu pada 2 Februari 1824.
Kamal Attaturk amat ghairah dengan kemajuan Barat, lalu memerintahkan reformasi bertukar menjadi Barat kepada seluruh rakyat Turki dengan membuang hampir sebahagian besar nilai-nilai budaya asal, malah agama Islam sendiri.
Sejarah akan terus berulang jika kita tidak peka atau lambat mengesan bahaya daripada keghairahan terhadap sesuatu atau kepercayaan sehingga menghilangkan pertimbangan dan kerasionalan.
Keghairahan seseorang atau sesuatu pihak untuk ‘menukar wajah’ bangsa dan negaranya, misalnya, berkemungkinan mengakibatkan penolakan terhadap pandangan-pandangan lain, atau pilihan, akibat keghairahan merencanakan gagasan sendiri yang dianggap satu-satunya sahaja yang betul dan mesti dipilih dan dilaksanakankan.
Kita perlu mengulangi dan memperteguhkan ‘nasihat’ kepada sesiapa pun yang passionate atau ghairah dengan perasaan dan kepercayaannya demi memastikan jangan keghairahan itu sampai ‘membunuh‘ – membunuh peribadi sendiri, agama, bangsa, dan negara!
No comments:
Post a Comment