Oleh MUHAMMAD HATIM
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (al-Isra’: 79)
Dalam usaha kita untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, kita digalakkan untuk mengerjakan solat tahajjud dan solat malam yang lain (qiamullail).
Solat tahajjud bukan hanya penting dari segi keperluan asas spiritual kita di mana orang yang mengerjakan akan mendapatkan tempat yang terpuji di sisi Allah, akan tetapi solat tahajud juga mendatangkan kebaikan dari segi kesihatan.
Menurut hasil penyelidikan Profesor Soleh, pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Surabaya, menerusi solat tahajjud dapat membebaskan kita dari penyakit kanser. Bagaimanapun, solat tahajjud yang bertujuan demikian bukan sekadar menggugurkan kewajiban melaksanakan ibadah muakkadah sahaja, akan tetapi ia memerlukan kepada kekerapan solat tahajjud secara istiqamah, ketetapan gerakan, kekhusyukan dan keikhlasan.
Jika melaksanakan solat tahajud dengan ikhlas dan khusyuk, secara perubatan, solat tahajjud menumbuhkan respons ketahanan tubuh (imonologi) khususnya pada imonoglobin dan limposit yang berupa persepsi dan motivasi positif serta dapat meningkatkan kemampuan seseorang dalam mengatasi masalah yang dihadapinya.
Solat tahajjud mendatangkan banyak faedah atau manfaat bagi yang mendirikannya sama ada dari segi fizikal, mental dan kesihatan (perubatan). Apabila kita melaksanakan solat tahajjud, kita seperti hendak tertidur tetapi masih dalam keadaan berjaga.
Dalam keadaan yang sedemikian, sebenarnya kita berada dalam keadaan antara sedar dan lena. Situasi yang kita alami ini di kalangan ahli perubatan disebut frekuensi alpha. Pada paras alpha, frekuensi otak berada dalam lingkungan 7 hingga 14 kitaran persaat.
Paras ini merupakan paras seseorang dapat berhubung dengan minda bawah sedar dengan aktif. Aktiviti minda membimbing kita dalam keadaan tenang, santai dan relaks yang membawa minda kita berada dalam kesedaran tahap yang tinggi sehingga kita mampu meneroka dan mengekstrak kemampuan minda kita.
Dengan keadaan jiwa dan minda yang terselubungi keheningan malam sehingga minda kita berada dalam fokus yang tinggi. Fikiran kita ketika ini akan terasa terang dan mampu menjana minda bawah sedar dalam keadaan tahap tinggi.
Para ulama fikah menyebut beberapa keutamaan yang didapati oleh orang yang melakukan solat malam. Di antaranya adalah seperti berikut:
1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat balasan baik berupa kenikmatan daripada-Nya seperti yang disebut dalam surah az-Dzariyat ayat 15-28.
2. Orang yang melakukan solat malam akan mendapat kesempurnaan atas kekurangan dan cacat solat fardunya dan meningkat darjatnya menjadi maqamam mahmuda, darjat yang terpuji.
3. Orang yang melakukan solat malam selalu mendapat pujian Allah s.w.t, seperti yang tercatat dalam al-Quran (surah al-Furqan, ayat 63-64), dipersaksikan sebagai orang yang beriman (surah as-Sajdah, ayat 16), dan akan dibezakan darjatnya dengan orang yang malas solat malam (surah az-Zumar, ayat 9).
Solat tahajjud merupakan media komunikasi yang berbeza dengan komunikasi yang lain. Ia adalah komunikasi antara Sang pencipta yang agung dan hamba-Nya. Apakah engkau telah menyiapakan dirimu untuk hubungan ini? dan apakah engkau termasuk orang-orang yang berkeinginan untuk melakukan hubungan tersebut.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.” (al-Insan: 26)
Salat tahajud merupakan salah satu ibadah sunnah yang banyak dillupakan oleh kaum Muslimin. Walhal, ibadah sunat ini berada setingkat di bawah ibadah wajib solat lima waktu. Sesungguhnya, Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan umatnya untuk melakukan solat tahajjud.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu. Dan bacalah al-Quran ini dengan perlahan-lahan.” (al-Muzzammil: 1-4)
Rasulullah s.a.w mengajak kita untuk berlumba-lumba dalam mengerjakan solat tahajjud. Baginda juga mendorong kita untuk bertegas dan bergegas dalam hal ini.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan untuk yang demikian itu hendaknya orang-orang berlumba.” (al-Muthaffifin:t 26)
Rasulullah s.a.w tidak sahaja bersungguh-sungguh tetapi juga konsisten dalam melaksanakan solat tahajjud, sekalipun dalam keadaan sakit. Pada hal dosa-dosa baginda, yang lalu dan akan datang telah diampuni. Ini menunjukan bahawa solat tahajjud amat penting dan pahalanya sangat besar di sisi Alllah s.w.t. Apakah kita yang banyak dosa ini tetapi malas untuk mengerjakan solat tahajjud?
Orang yang mengerjakan tahajjud tentunya tidak sama dengan orang yang tidak mengerjakannya. Bahkan orang yang membiasakan diri dengan tahajud tentunya pula tidak sama dengan orang yang tidak membiasakan diri. Ada banyak manfaat dan keuntungan yang akan diperolehi apabila seseorang itu rajin solat malam. Namun demikian, amat sedikit orang menyedari fadilat solat malam.
Anugerah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada orang yang mengerjakan solat tahajjud adalah mendapatkan tiket masuk syurga dan menikmati semua kebaikan yang ada di dalamnya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang-orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat tuhannya? Katakanlah, “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (az–Zumar: 9)
Solat tahajud dan ibadah qiamullail yang lain adalah sarana berkomunikasi seorang hamba dengan Maha Pencipta. Sang hamba berasa nikmat dan selesa sewaktu memohon doa dan pasrah kepada Penciptanya. Ia berdoa, beristighfar, bertasbih, dan memuji Maha Pencipta. Dan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sesuai dengan janji-Nya, akan mencintai hamba yang mendekat kepada-Nya.
Kalau Allah s.w.t mencintai seseorang hamba, maka Dia akan mempermudah semua aspek kehidupan hamba-Nya itu. Dan Dia memberi berkah atas semua aktiviti sang hamba, baik aktiviti di bidang dakwah, pendidikan, ekonomi, sosial, budaya, mahupun politik. Sang hamba akan dekat dengan Rabbnya, diampuni dosanya, dihormati oleh sesama manusia, dan menjadi penghuni syurga yang disediakan untuknya.
Seorang Muslim yang istiqamah mengerjakan qiamullail, pasti dicintai dan dekat dengan Allah s.w.t. Kerana itu, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada kita sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Lazimkan dirimu untuk solat malam kerana itu adalah tradisi orang-orang soleh sebelummu, mendekatkan diri kepada Allah, menghapuskan dosa, menghindarkan penyakit, dan pencegah daripada dosa.” (Riwayat Ahmad)
Jika kita ingin mendapat kemuliaan di sisi Allah dan di mata manusia, amalkanlah qiamullail secara istiqamah.
Daripada Sahal bin Sa’ad r.a, katanya: “Malaikat Jibril a.s. datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata, “Wahai Muhammad, hiduplah sebebas-bebasnya, akhirnya pun kamu akan mati. Berbuatlah semahumu, pasti akan dapat balasan. Cintailah orang yang engkau mahu, pasti kamu akan berpisah. Kemuliaan orang mukmin dapat diraih dengan melakukan solat malam, dan harga dirinya dapat ditemukan dengan tidak minta tolong orang lain.”
Pada hakikatnya, satu kerugian besar dan penyesalan tidak berkesudahan apabila kita tidak memotivasikan diri untuk mencintai solat tahajud. Kerugian besar itu akan semakin menjadi bertambah besar tatkala kita sudah dipanggil-Nya memasuki kehidupan yang hakiki. Kehidupan abadi setelah kematian. Dalam kehidupan, setelah kematian itulah takbir-takbir kebenaran akan kebesaran pahala solat tahajud dan segala amal soleh kita dulu yang didustakan orang akan terbukti benar. Keutamaan-keutamaan tahajud dan pelbagai ibadah yang dulu diabaikan ternyata kini begitu besar pahala dan kemuliannya. Itu semua akan menjadi sahabat setia sekali gus penolong daripada kemurkaan malaikat Munkar dan Nakir. Penangkal dahsyatnya himpitan bumi dan ganasnya seksaan kubur, sehingga di alam barzakh tidur kita bagai tidurnya pengantin baru.
Penyesalan setelah kematian adalah penyesalan yang sia-sia, tiada erti. Penyesalan yang menghiris-hiris kalbu dan hati. Beruntunglah kita kerana saat ini belum meninggal dunia. Kita masih hidup, masih sihat walafiat. Masih banyak kesempatan untuk menperbaiki diri. Hari ini, malam ini, sekarang juga, bertekadlah untuk memulai menegakkan solat tahajjud. Setidak-tidaknya, kita telah mengawalinya dengan niat yang terbaik.
Daripada Abu Malik Al-Asyari, katanya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam syurga ada ruangan yang luarnya terlihat dari dalamnya dan dalamnya kelihatan dari luarnya, yang dipersiapkan Allah bagi orang yang menyedekahkan makanan, lembut dalam berbicara, diikuti dengan puasa dan solat malam ketika manusia lain tidur.” (Riwayat Ahmad)
No comments:
Post a Comment