SeDaRI HaKiKaT DuNia HaRi iNi

Make Money With cashCrate - Join me!!

Kehidupan adalah anugerah utama Ilahi. Anugerah khdupan ini memberi gambaran kebesaran-Nya buat kita semua. Anugerah ini wajib kita syukuri dan haragai. Internet adlh kemudahan buat umat manusia yg tdk kira umur, pangkat, agama, bangsa, Negara dan yg sewaktu dgnnya. Justeru itu, manfaatkanlah ia utk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat. Sentiasalah kita beringat bhw apa shja yg kita lakukan akan dip't/jawabkan pda kemudian hari.


Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt kpd kita. Halalkan kegunaan akal. Hati dan lidah pda perkara yg bakal membawa kpd kecemerlangan diri kita samaada di dunia mahupun di akhirat. Kita hidup hanya sekali. Sekali ‘pergi’ tak akan ‘kembali’. Bak pepatah melayu,’buat baik berpada-pada dan buat jahat JANGAN sekali’. Kewujudan website ini dgn blog sbg wadah utk meningkatkan nilai diri. Bermatlamatkan penyatuan ummah dgn ciri-ciri kemurnian budi dan budaya. Walaupun dunia terus maju dgn teknologi, kita seharusnya terus mengekalkan akhlak dan jati diri insani.

Sunday, July 25, 2010

SejaRah neGara MaLaysia

Zaman Prasejarah

Malaysia terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, yang merupakan bahagian paling selatan benua Asia, dan negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Utara Pulau Borneo, yang terletak ke arah timur sejauh 530 kilometer di seberang Laut China Selatan.
Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah negara. Namun, tempoh prasejarah yang panjang ini kurang mendapat perhatian kerana kebanyakan penulisan yang sedia ada tertumpu kepada kehebatan Melaka.

Kerja-kerja penyelidikan berkenaan sejarah awal di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh dua faktor yang utama, iaitu keadaan fizikal geografinya dan keadaan cuaca. Para penyelidik lebih cenderung menumpukan kajian mereka samada di Semenanjung atau pun di sekitar Sabah dan Sarawak sahaja, dan ini mengakibatkan hasil kajian yang tidak menyeluruh tentang tempoh prasejarah negara Malaysia. Keadaan cuaca yang begitu panas terik dan hutan hujan yang tebal tidak banyak meninggalkan artifak-artifak dari tempoh awal ini, selain daripada barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi. Kebanyakan artifak tersebut, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah batu-batu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13.

Bukti terawal penempatan manusia di Sarawak adalah merupakan sebuah tengkorak yang berusia 38,000 tahun yang ditemui di Gua Niah, manakala bagi kawasan Semenanjung pula merupakan sebuah rangka yang berusia 11,000 tahun yang ditemui di Gua Gunung Runtuh di Perak. Artifak yang tertua adalah merupakan sebuah bangku batu zaman Paleolitik dari Kota Tampan, Perak yang berusia 34,000 tahun, manakala artifak tertua dari kawasan Borneo pula adalah alatan batu di Tingkayu, Sabah yang dihasilkan di antara 18,000 hingga 28,000 tahun dahulu. Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah. Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.

Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia. Penemuan barangan gangsa dari Utara Vietnam membuktikan wujudnya pelayaran jarak jauh dan seterusnya menghasilkan hubungan perdagangan laut dengan penempatan lain di Asia Tenggara. Manik-manik daripada India yang ditemui di kawasan-kawasan Zaman Logam seperti di Kuala Selinsing (200 SM – 900 M) dan Changkat Menteri (1 – 800 M) di Perak adalah bukti terdapatnya juga hubungan dagangan dengan Asia Selatan.



1511 - 1945

Kedatangan orang-orang Portugis (1511 - 1624) :

Setelah menakluki Goa, Portugis mendapati bukan India tetapi sebaliknya Asia Tenggara yang boleh memberi kekayaan kepada mereka. Mereka telah mengumpul maklumat daripada setiap pelaut yang datang ke Goa dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa sesiapa yang memerintah Melaka akan mempunyai kuasa untuk menggegarkan Venice.

Bagi mengukur kekuatan Melaka, Portugis telah menghantar sepasukan peninjau dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira. Angkatan itu tiba di Melaka pada 11 Ogos 1509 dan de Sequeira menghantar salah seorang nakhodanya mendarat dengan membawa warkah dan hadiah dari Raja Portugis kepada Sultan. Penduduk Melaka tidak pernah melihat orang Eropah sebelum ini dan apabila kelasi-kelasi Portugis itu medarat, orang-orang Melayu mula mengerumuni mereka. Mereka amat terpegun dengan paras rupa serta warna kulit orang-orang Portugis ini. Mereka mula menyentuh janggut perang orang Portugis, mengusap kepala dan memegang tangan mereka dan menggelar mereka sebagai Benggali Putih.

Setibanya angkatan Portugis, Bendahara Melaka telah menerima kiriman warkah dan hadiah yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan. Pada mulanya, tetamu ini dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India dan Arab Muslim mendesak Sultan dan Bendahara agar tidak mempercayai pihak Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka. Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan mereka. Setelah mendapati rancangan mereka telah terbongkar, pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata yang sedang membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.

Apabila Alfonso D’ Albuquerque, Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur mendapat berita tentang penangkapan orang-orangnya, dia telah mempersiapkan sebuah angkatan yang mengandungi lapan belas buah kapal dengan 1,400 anggota yang terdiri daripada 800 orang Portugis dan 600 orang India Malabar, lalu menuju ke Melaka. Angkatan D’ Albuquerque tiba di pelabuhan Melaka pada 1 Julai 1511 dengan tujuan untuk menaklukinya dan menubuhkan sebuah kerajaan baru. Setelah mendapat berita yang D’ Albuquerque dan angkatannya telah melepaskan tembakan meriam ke atas Melaka, Sultan Mahmud Syah menuntut penjelasan tentang tindakan Portugis ini. D’ Albuquerque menuntut pembebasan orang-orangnya yang ditawan dan bayaran pampasan ke atas kerugian yang mereka tanggung. Sultan Mahmud Syah menggunakan pelbagai helah dan melengah-lengahkan masa bagi memperkukuhkan lagi kubu pertahanan serta mempersiapkan segala bekalan di kedua belah bahagian Melaka yang dipisahkan oleh sungai. Pihak Portugis hilang sabar dan mengambil keputusan untuk membakar sebahagian rumah yang terletak di persisiran pantai serta kapal-kapal perdagangan yang sedang berlabuh kecuali tongkang-tongkang China dan kapal-kapal India dari Tanjung Kormorin.
Justeru, Melaka membebaskan semua tawanan akan tetapi D’ Albuquerque masih belum berpuas hati. Dia mengarahkan satu serangan dilakukan ke atas kota Melaka. Kota Melaka terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian utama kota dan bahagian pinggir kota di seberang sungai di mana para pedagang menetap. D’ Albuquerque merancang untuk menguasai jambatan yang menghubungkan kedua bahagian kota ini bagi menghalang mereka daripada saling bantu membantu di antara satu sama lain. Serangan tersebut dilancarkan pada 25 Julai 1511. Beliau sendiri mengetuai sepasukan beberapa ratus anggota tentera ke bahagian utara kota manakala sepasukan lagi bertindak menyerang jambatan. Maka berlakulah pertempuran sengit di antara tentera Portugis dengan tentera Melayu dan Jawa, yang mengakibatkan ramai yang cedera parah atau terbunuh. Pihak Portugis akhirnya terpaksa mengundurkan diri kembali ke kapal mereka dengan membawa askar yang tercedera. Serangan pertama mereka gagal.

Selang beberapa hari kemudian, D’ Albuquerque menyerang Melaka sekali lagi dan akhirnya Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tanggal 10 Ogos 1511. Justeru, Sultan Mahmud Syah dan keluarganya berundur ke Ulu Bertam, Pahang. Pengunduran Sultan ke Ulu Bertam membolehkan pihak Portugis melenyapkan saki-baki tentangan dari tentera diraja yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Gujerat dan India. Tentera Portugis menawan setiap penjuru kota serta membunuh sesiapa sahaja yang disyaki menentang mereka, tidak kira lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Orang-orang dari Pegu, Burma dan orang-orang Hindu dari Tanjung Kormorin dibenarkan meninggalkan Melaka tetapi terpaksa menyerahkan segala harta benda mereka kepada Portugis. Pada 24 Ogos tahun 1511, Alburqueque telah mengarahkan askar-askarnya merampas semua harta benda dan barang-barang bernilai milik Sultan dan rakyat Melaka. Di antara barang-barang yang dirampas adalah pasu, jongkong emas, barang kemas, batu permata, kain sutera, wangian dan dua ribu meriam tembaga. Kubu dan istana Kesultanan Melayu Melaka akhirnya musnah dan kesemua barangan bernilai habis dirampas. Keagungan dan keunggulan Kerajaan Melayu Melaka hilang akibat serangan Portugis.
Bagi mempertahankan dan memperkuatkan lagi pengkalan Portugis, Alburquerque telah membina sebuah kubu yang terletak di antara kawasan tanah tinggi dan Sungai Melaka. Kubu tersebut dikenali sebagai A Farmosa. Beratus-ratus pekerja, hamba dan tawanan perang telah dikerah untuk membina kubu tersebut. Batu-batu daripada masjid-masjid yang telah musnah dan makam-makam diraja telah digunakan untuk membina tembok tebal kubu ini. Di dalam kubu tersebut dibangunkan pula Istana Gabenor dan istana Paderi Besar, kamar Dewan Kerajaan, beberapa gereja, berek-berek, dua buah hospital, biara dan sebuah penjara.

Alburquerque juga telah berjaya menghapuskan tentangan dari Utimutiraja, Sultan Ahmad dan orang-orang Jawa yang ingin merampas Melaka kembali dari tangan Portugis. Beliau telah melantik Rui de Brito sebagai Gabenor dan Nina Chattu sebagai Perdana Menteri. Beliau kemudiannya memastikan keamanan serta aktiviti perdagangan dipulihkan dengan menggalakkan pedagang-pedagang membuka kembali perniagaan mereka. Selain itu, beliau juga telah menghantar beberapa misi persahabatan ke Siam, Jawa, China dan Kepulauan Maluku. Magellan, yang merupakan orang pertama belayar ke seluruh dunia dari tahun 1519 hingga ke tahun 1522, adalah salah seorang pegawai Albuquerque ketika penawanan Melaka.
Bagi memastikan perdagangan berjalan lancar, Albuquerque telah memperkenalkan mata wang yang baru di Melaka. Walaupun aktiviti perdagangan secara amnya dijalankan secara barter, terdapat juga beberapa urus niaga yang dijalankan dengan menggunakan wang timah Melayu. Wang baru yg diperkenalkan oleh Portugis adlh dlm bentuk timah @ tembaga, perak dan emas.
Apabila beliau telah berpuas hati dengan keadaan di Melaka, Albuquerque pun kembali ke markasnya di Goa. Beliau meninggalkan Melaka pada Januari 1512, membawa bersamanya kesemua khazanah Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja dan Permaisuri Portugal. Walau bagaimanapun, kapalnya, Flora de la Mar, telah dilanda badai di perairan barat Sumatra. Hampir kesemua barang-barang yang dibawanya hilang, namun beliau bernasib baik kerana terselamat dari bencana tersebut.

Pihak Portugis berjaya mengekalkan kekuasaan mereka di Melaka daripada mana-mana musuh selama 130 tahun dan kota itu terus menjadi pusat perdagangan di timur, terutamanya dalam dagangan rempah ratus. Manakala Sultan Mahmud pula berundur dari Teloh Naning ke Ulu Muar, dan kemudian menetap di Pagoh dan Bentayan. Sultan Mahmud dan keturunananya membina empayar Johor-Riau yang merangkumi Johor, kepulauan Riau, Pahang dan lain-lain bahagian kerajaan Melaka yang tidak dijajah Portugis. Walaupun Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud dan puteranya Sultan Ahmad tidak putus-putus menghantar tenteranya untuk menyerang Portugis di Melaka dari tahun 1511 sehingga tahun 1526. Sultan Mahmud mangkat di Kampar, Sumatera pada tahun 1528 dan digelar Marhum Kampar. Tidak lama kemudian, laksamananya, Khoja Hassan juga meninggal dunia. Hang Nadim telah dilantik sebagai laksamana yang baru. Hang Nadim pernah membantu Sultan Mahmud di dalam dua cubaan untuk mendapatkan semula takhta baginda pada tahun 1519 dan 1523. Hang Nadim juga pernah berusaha mengepung Melaka dengan tujuan menghalang bekalan makanan daripada masuk ke kota Melaka. Dia telah membuktikan kepimpinan dan keberaniannya dengan mengalahkan Portugis ketika mereka menyerang Bintam dan Kopak. Kegagahannya amat dikagumi oleh orang Melayu dan serangan bertubi-tubi ke atas Portugis telah melemahkan semangat perjuangan mereka serta merugikan perdagangan mereka di Melaka.

Namun, Portugis mempunyai musuh yang lebih kuat iaitu Acheh di utara Sumatera, yang terletak di seberang Selat Melaka. Sultan-sultannya merupakan pejuang Islam dan mereka juga menguasai perdagangan lada hitam di Sumatera. Sultan Acheh yang berkeinginan menawan Melaka, telah beberapa kali melancarkan serangan, namun tidak berjaya. Pihak Portugis kemudiannya membuka beberapa buah pengkalan di serata kepulauan Melayu dan di China. Portugis mampu mengekalkan kekuasaan mereka selagi mereka menguasai lautan dan selagi kehebatan kapal-kapal mereka tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal dari Asia. Namun, lama kelamaan pihak Portugis tidak berdaya menyaingi kemampuan teknologi pembinaan kapal di lain-lain negara Eropah. Pihak Portugis tidak dapat menandingi kehebatan kapal-kapal Belanda dan Inggeris yang mula datang ke timur.

Portugis merupakan orang Eropah yang pertama datang ke timur dan membawa bersama mereka budaya dan agama yang baru. Mubaligh mereka telah menyebarkan ajaran Kritian di India, Melaka, kepulauan Maluku, Makau dan Jepun. Di antara mubaligh yang terkenal ialah St. Francis Xavier. Dia tiba di Melaka dari Goa pada tahun 1545 dan mengembara di serata rantau Asia seperti Jepun, India dan Amboyna untuk menyebarkan ajaran Kristian. Dia merupakan orang pertama membina sekolah yang dinamakan Kolej St. Paul di Melaka pada tahun 1548 untuk pelajar dari pelbagai bangsa. St Francis Xavier mati di pulau Sanchan di perairan China pada bulan Disember tahun 1552. Jenazahnya di bawa ke Melaka dan seterusnya ke Goa, di mana ia masih disimpan sehingga hari ini.

Orang-orang Portugis digalakkan mengahwini wanita tempatan lantas mewujudkan sebuah komuniti Serani yang besar tidak lama kemudian. Pada hari ini, komuniti Serani Portugis masih ada di Melaka dan di bandar-bandar lain di Malaysia dan kebanyakan dari mereka bertutur dalam dialek Portugis. Walaupun Portugis kehilangan kuasa di Melaka lebih 300 tahun dahulu, banyak perkataan dalam bahasa mereka yang digunakan dalam bahasa Melayu. Di antara contoh perkataan-perkataan tersebut adalah almari (almario), bendera (bandera), mentega (mantaga), garfu (garfo) dan meja (mesa).

Pihak Belanda yang mempunyai hubungan yang baik dengan Portugis, merupakan pelanggan utama mereka dalam rempah ratus dan lain-lain barangan dari timur, yang diedarkan ke seluruh bahagian utara benua Eropah. Bagaimanapun, pada tahun 1580 negara Portugal bergabung dengan negara Sepanyol di bawah pemerintahan Raja Philip II, yang merupakan seteru utama Belanda.

Baginda telah melarang pihak Belanda dari memasuki pelabuhan yang dikuasai Portugis. Dengan sebab itu, pihak Belanda terpaksa mendapatkan bekalan mereka dari sumber yang lain dan mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke timur untuk melenyapkan penguasaan pihak Portugis dalam perdagangan rempah ratus. Pihak Portugis yang berpengkalan di Goa dan Melaka mengadakan beberapa cubaan untuk menghalang kemasukan kapal-kapal Belanda ke Asia Timur, namun tidak berjaya. Kapal-kapal mereka tidak dapat menyaingi kapal-kapal Belanda yang lebih baru dan mempunyai kelengkapan yang lebih baik. Tambahan pula, pemerintah-pemerintah di Indonesia menyambut baik pihak Belanda dgn harapan persaingan sengit di antara Belanda dan Portugis akan menaikkan lagi harga pasaran barangan keluaran negara mereka dan menghasilkan kutipan cukai yang lebih tinggi.
Pihak Belanda dapat menyaingi Portugis dengan mudah kerana mereka mempunyai pelayar yang lebih mahir dan kapal-kapal yang lebih hebat, yang membolehkan mereka membawa rempah ratus ke Eropah dengan kos yang lebih murah dari pihak Portugis. Pada tahun 1602, Syarikat Hindia Timur Bersekutu Belanda ditubuhkan untuk menyatukan kesemua syarikat Belanda di Asia demi kebaikan bersama pedagang Belanda. Syarikat tersebut dengan kebenaran kerajaan Belanda, telah memonopoli perdagangan di Asia dan berkuasa untuk membuat perjanjian dan pakatan dengan pemerintah tempatan, menakluki jajahan dan membina kubu pertahanan. Semua pengkalan Belanda yang berada di India Timur telah diambil alih oleh Syarikat tersebut.

Pada tahun 1605, angkatan bersenjata Syarikat ini telah berjaya menawan kubu Portugis di Ambon dan menjadikan pulau tersebut sebagai jajahan pertamanya di kepulauan Melayu. Setelah berjaya menawan Ambon dengan mudah, Belanda yakin bahawa mereka juga boleh menawan Melaka. Pada tahun 1606, pihak Belanda membuat satu perjanjian dengan Sultan Johor dengan tujuan untuk menawan Melaka. Walau bagaimanapun, serangan pakatan Belanda-Melayu telah gagal dan Melaka terus berada di bawah jajahan Portugis selama 35 tahun yang seterusnya. Belanda mempunyai satu matlamat utama untuk menawan Melaka. Mereka mahu Betawi menjadi satu-satunya pusat perdagangan barangan timur dan untuk mencapai matlamat tersebut, mereka perlu menghentikan perdagangan Portugis di Melaka. Oleh itu, di antara tahun 1619 dan tahun 1640, pihak Belanda dengan kekuatan angkatan laut mereka telah berjaya mengalihkan kebanyakan perdagangan dari Melaka ke Betawi. Namun, pihak Belanda khuatir tentang kemungkinan Melaka jatuh ke tangan kuasa Eropah yang lain yang boleh memberi persaingan kepada Betawi. Satu-satunya cara untuk menghindari perkara ini daripada berlaku ialah dengan menawan Melaka dan menjadikannya sebuah wilayah Betawi.

Pihak Belanda membuat serangan yang berterusan ke atas kapal-kapal Portugis pada awal kurun ke-17 dan pada tahun 1606, mereka telah melancarkan satu serangan ke atas Melaka, namun gagal. Pada tahun 1640, pihak Belanda dengan pakatan bersama pihak Melayu telah mengepung kota Melaka dan menghalang kemasukan bekalan makanan. Orang-orang dari Johor mengawal bahagian sungai dan perkampungan di sekitar kota manakala pihak Belanda mengawal laluan masuk dari arah laut. Pihak Belanda juga membina benteng yang mempunyai beberapa pucuk meriam yang dihalakan ke arah kubu pertahanan Portugis di bahagian timur, supaya mereka boleh membedil pihak Portugis. Musim hujan pun bermula dan banjir yang berlaku menyebabkan kawasan rendah di mana pihak Belanda berpengkalan ditenggelami air. Wabak malaria juga merebak di kalangan tentera Belanda dan Portugis, membunuh ramai daripada mereka termasuklah dua orang nakhoda Belanda dan seterusnya melemahkan semangat perjuangan kedua belah pihak.

Portugis menyerah kalah kepada Belanda (1641) :

Pada jam 10 pagi, 14 Januari 1641, Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Komandan Belanda, Willemson Kaatokoe, yang ditempatkan di sebuah pengkalan di Kampung Keling, telah memasuki kubu untuk membincangkan tentang peralihan kuasa dan syarat-syarat penyerahan dengan Gabenor Portugis, Dom Manuel de Souza Coutinho.

Beliau bersetuju untuk membebaskan semua tawanan Portugis berserta barangan milik mereka setelah mendengar rayuan daripada seorang paderi. Hanya pasukan tentera diraja Portugis ditawan dan dibawa ke Betawi. Gabenor terakhir Portugis mati dua hari selepas kemenangan pihak Belanda. Belanda telah mengepung Melaka selama lapan bulan dan sepanjang tempoh tersebut hampir 7,000 penduduk Melaka terbunuh dan 10,000 lagi lari meninggalkan Melaka. Pihak Belanda kehilangan seramai 1,500 tentera termasuk tiga orang nakhoda kerana masalah kesihatan. 200 orang tentera Portugis terbunuh dan 500 lagi mati akibat gejala malaria. Kekalahan Portugis ini menandakan berakhirnya pemerintahan mereka di Melaka.
Melaka di bawah Kuasa Belanda (1641-1824)

Selepas ditawan, Melaka berfungsi sebagai pengkalan untuk menghalang musuh Belanda dari memasuki Selat Melaka dan juga merupakan pusat pengumpulan hasil dari Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya bijih timah. Belanda tidak memberi tumpuan kepada Tanah Melayu dan sepanjang pemerintahan mereka, kerajaan Johor-Riau, yang merupakan sekutu Belanda, dibiarkan menjadi lemah. Sehingga tahun 1800, kesemua negeri-negeri yang bernaung di bawah kerajaan ini keluar dari naungan Sultan Johor dan mengisytiharkan negeri mereka merdeka. Sebagai ahli perniagaan dan pedagang, orang Belanda tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap pesaingnya. Oleh kerana sikap yang demikian, pedagang-pedagang China mula mengubah haluan perdagangan mereka dan hasilnya, kemajuan yang sekian lama melimpahi Melaka mula merosot begitu juga jumlah penduduknya.

Kebebasan Beragama : Kebebasan beragama merupakan faktor utama yang mengekalkan keharmonian sosial semasa pemerintahan Kesultanan Melayu. Sebaliknya, Portugis mengharamkan sebarang amalan agama selain daripada Katolik Rumawi. Pihak Belanda pula tidak begitu tegas tentang anutan agama penduduk dan mengamalkan toleransi dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, mereka menentang amalan agama Katolik Rumawi sehingga tahun 1695, krn sistem yang diamalkan di Eropah, menggabungkan urusan kerajaan dgn ajaran agama.

Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris (1824) :

Orang Bugis mula datang ke Tanah Melayu dengan jumlah yang besar pada awal kurun ke-18. Pihak Belanda tidak campur tangan dalam urusan orang Bugis dan membiarkan Kerajaan Johor-Riau jatuh ke tangan mereka. Hanya apabila orang Bugis mula memberi saingan yang hebat dalam perdagangan bijih timah, barulah pihak Belanda mengambil tindakan terhadap mereka.

Oleh yang demikian, pada tahun 1784 Belanda menawan Riau, pusat kerajaan tersebut dan menjadikan kerajaan Johor-Riau sebagai jajahan negara Belanda. Peperangan yang berlaku di antara Bugis dan Belanda dari tahun 1755 hingga tahun 1758 dan dari tahun 1783 hingga tahun 1784 bukan hanya melemahkan kuasa dan pengaruh Belanda di kawasan tersebut, malah telah menyebabkan kekayaan Syarikat Hindia Timur Belanda merosot. Walaupun Melaka masih lagi menarik perhatian para pedagang, Riau telah mengambil alih tempat sebagai pintu masuk ke Selat Melaka. Pihak Inggeris pula sudah mula tiba ke kawasan ini sebagai satu kuasa baru, terutamanya selepas peperangan keempat mereka dengan Belanda di antara tahun 1781 hingga tahun 1783. Mereka juga berjaya mempengaruhi beberapa pemerintah tempatan untuk menyebelahi mereka dan telah membuka sebuah pengkalan di Pulau Pinang pada tahun 1786.
Golongan Revolusi Perancis yang telah mengisytiharkan perang dengan Inggeris pada tahun 1793, telah diundang oleh Pergerakan Patriotik Revolusi Belanda yang dikenali sebagai “the Velvet Revolution�?, pada tahun 1795 untuk menyerang Raja Belanda, William V of Orange, yang meminta perlindungan Inggeris. Oleh kerana itu, seluruh jajahan Belanda di seberang laut terpaksa mengambil langkah untuk mempertahankan diri mereka sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan pusat. Justeru, pihak Inggeris memutuskan untuk mengambil alih seluruh jajahan Belanda bagi mengelakkan mereka dirampas oleh pihak Perancis.

Pada 15 Ogos 1795, angkatan Inggeris telah tiba di Melaka dan mengambil alih kuasa dari tangan Gabenor Belanda, Abrahamus Couperus. Walaupun berlaku tentangan terhadap penyerahan Melaka kepada Inggeris, ianya tidak mengakibatkan sebarang pergeseran di antara mereka. Melaka terus ditadbir oleh pegawai Belanda di bawah pengawasan seorang Residen Inggeris. Berdasarkan Perjanjian Vienna pada tahun 1814, Melaka telah dikembalikan kepada Belanda pada 21 September 1818, namun Melaka diserahkan semula kepada pihak Inggeris pada 17 Mac 1824 berikutan Perjanjian London. Perjanjian ini membolehkan kedua-dua kuasa barat ini menumpukan perhatian mereka kepada kawasan jajahan masing-masing.

Robohnya Kota Melaka : Pihak Inggeris di Pulau Pinang mengetahui bahawa Melaka perlu diserahkan kembali kepada Belanda apabila tamat perang. Namun, Inggeris enggan memulangkan Melaka kerana khuatir ianya akan mengganggu pembangunan penempatan baru mereka di Pulau Pinang. Oleh yang demikian, mereka bertindak merosakkan nama dan pengaruh Melaka dengan mengalihkan tumpuan perdagangan dari Melaka ke Pulau Pinang, merobohkan kubu dan kota Melaka serta memindahkan 15,000 orang penduduknya ke Pulau Pinang. Dengan cara ini, Melaka tidak lagi dapat menyaingi Pulau Pinang dari segi perdagangan apabila ia diserahkan semula kepada pihak Belanda. Seterusnya, jika terdapat keperluan untuk menyerang Melaka pada masa akan datang, tiada lagi kubu tersebut untuk menghalang mereka.
Gabenor Pulau Pinang telah mengarahkan Kapten William Farquhar untuk memusnahkan kubu Melaka pada tahun 1807 dan hampir keseluruhan kubu tersebut dimusnahkan pada tahun 1808. Walau bagaimanapun, Stamford Raffles, yang merupakan pembantu setiausaha negeri Pulau Pinang telah tiba di Melaka untuk bercuti. Setelah mendapat kebenaran daripada Lord Minto, Gabenor Jeneral India, beliau sempat menghentikan kerja-kerja merobohkan kubu Melaka serta pemindahan penduduk Melaka yang berterusan. Raffles mengagumi kota lama Melaka kerana beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah, kebudayaan, bangsa dan bahasa Melayu. Beliau juga berjaya menyelamatkan pintu gerbang kubu Melaka dari diroboh dan ia masih kekal hingga ke hari ini. Usaha merobohkan kubu Melaka yang melibatkan beberapa ratus orang pekerja telah menelan belanja sebanyak 70,000 pound sterling.

Kemerosotan dan Kejatuhan Melaka : Ekonomi Melaka mula merosot di sekitar pertengahan zaman penjajahan Belanda, di mana Melaka hanya dijadikan sebuah gudang untuk Betawi. Penyerahan Melaka kepada Inggeris memburukkan lagi keadaan kerana polisi mereka pada waktu itu adalah untuk menjatuhkan Melaka agar ia tidak mampu bersaing dengan Pulau Pinang. Akan tetapi, apabila Melaka diserahkan kepada Inggeris buat kali kedua pada tahun 1824, pihak Inggeris cuba membangunkan kota tersebut namun usaha itu tidak begitu berjaya. Kawasan negeri Melaka menjadi semakin kecil dan pengeluaran sumber asli seperti emas dan bijih timah juga turut berkurangan. Kerajaan Inggeris telah menghadkan pembangunan Melaka dan penduduk tempatan pula tidak mempunyai sumber untuk mengekang kemerosotan ekonomi Melaka. Pelabuhan Melaka tidak lagi menjadi pilihan kapal-kapal dagang setelah kehilangan daya tarikannya.

Negeri-negeri Selat (1826) : Pada tahun 1826, Pulau Pinang termasuk Seberang Perai, Melaka dan Singapura telah digabungkan untuk membentuk Negeri-negeri Selat. Pulau Pinang, yang merupakan penempatan terawal Inggeris telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran. Lama kelamaan, kepentingan Melaka semakin luput manakala Pulau Pinang pula semakin membangun. Namun begitu, kemajuan di Singapura juga telah meningkat dari segi jumlah penduduk dan perdagangan, lantas pusat pentadbiran dipindahkan ke Singapura pada tahun 1832. Negeri-negeri Selat berada di bawah penguasaan Gabenor Jeneral di Kalkatta. Walau bagaimanapun, pada tahun 1867, Negeri-negeri Selat diasingkan dari penguasaan Inggeris di India dan telah dijadikan sebuah Koloni Diraja secara langsung di bawah penguasaan Pejabat Tanah Jajahan di London.

Syarikat Hindia Timur sedang mencari sebuah tempat yang sesuai di Selat Melaka untuk dijadikan pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapalnya yang belayar jauh di antara India dan China. Mereka juga mencari sebuah pelabuhan yang dapat menggantikan Melaka, yang pada ketika itu merupakan sebuah jajahan Belanda, sebagai pusat perdagangan bagi Tanah Melayu. Justeru, Syarikat tersebut telah memilih Kedah sebagai pengkalan di perairan Tanah Melayu.

Pada tahun 1785, Syarikat ini telah mendapatkan persetujuan daripada Sultan Kedah di mana pihak Syarikat dibenarkan untuk menduduki Pulau Pinang dengan syarat mereka membayar sewa tahunan dan membantu menentang musuh-musuh Sultan terutamanya pihak Siam di utara dan pihak Bugis di Selangor. Kapten Francis Light telah dilantik Pesuruhjaya di Pulau Pinang apabila Syarikat Hindia Timur mengambil alih pulau itu secara rasmi pada 11 Ogos 1786. Pulau Pinang telah dijadikan sebagai jajahan takluk Benggala dan berada di bawah penguasaan Gabenor di Kalkatta. Tidak lama kemudian, Pulau Pinang telah menjadi sebuah pertempatan yang sibuk apabila pedagang-pedagang China dan India melihat kelebihannya untuk berhijrah ke sini kerana ia merupakan sebuah pelabuhan bebas dan tidak mengenakan cukai yang tinggi. Jumlah penduduknya meningkat dari 1,000 orang pada tahun 1788 kepada 12,000 orang pada tahun 1804 waktu mana orang Melayu merupakan jumlah penduduk yang paling ramai diikuti dengan orang India dan orang China.

Gabenor baru Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke tiba pada bulan November 1873 dan dalam tempoh satu tahun, beliau telah berjaya meletakkan negeri Perak, Selangor dan Sungei Ujong di bawah naungan British. Pemerintah negeri-negeri tersebut telah menandatangani perjanjian bersetuju menerima seorang Residen British sebagai penasihat dalam semua hal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan urusan agama dan adat resam.

Sungei Ujong merupakan negeri yang pertama di dalam Negeri Sembilan yang berada di bawah naungan British. Lain-lain negeri yang meminta perkhidmatan pegawai British adalah Jelebu pada tahun 1883, Rembau pada tahun 1887 dan pada tahun 1895 keseluruhan Negeri Sembilan telah berada di bawah naungan British. Naungan British menjangkau ke Pahang pada tahun 1888. Sebelum Negeri-negeri Melayu berada di bawah naungan British, mereka berada dalam keadaan yang mundur. Tiada sistem kerajaan yang teratur dan setiap ketua memerintah kawasan masing-masing yang boleh disamakan dengan seorang bangsawan feudal. Mereka mengenakan cukai dan membelanjakannya dengan sesuka hati tanpa membangunkan kawasan masing-masing seperti membina jalanraya, bangunan awam, sekolah atau mahkamah. Apabila Residen-residen British tiba di Perak, Selangor, Sungei Ujong dan Pahang, mereka dengan bantuan masyarakat tempatan telah menubuhkan sistem kerajaan yang teratur. Pada mulanya terdapat pelbagai tentangan dan masalah, namun lama kelamaan para Residen mampu mengatasinya. Di antara Residen yang paling bijak ialah Sir Hugh Low yang berkhidmat di Perak dari tahun 1877 hingga 1889.

Pada tahun 1889, Frank Swettenham telah menggantikan Sir Hugh Low sebagai Residen Perak. Swettenham dapat membayangkan pembangunan yang pesat sekiranya keempat-empat negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang digabungkan sebagai satu Persekutuan. Gabenor Negeri-negeri Selat, pemerintah-pemerintah Melayu dan Residen-residen telah bersetuju dengan pembentukan Persekutuan tersebut. Pada tahun 1896, keempat-empat negeri tersebut yang berada di bawah naungan British telah dijadikan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Kuala Lumpur telah dipilih sebagai pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu memandangkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah. Residen Jeneralnya yang pertama ialah Sir Frank Swettenham.

Setelah penubuhannya, Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berkembang dengan pesat. Jumlah penduduk di keempat-empat negeri tersebut telah meningkat daripada 424,000 orang pada tahun 1891 kepada 860,000 orang pada tahun 1905. Tanah Melayu menjadi pembekal utama bijih timah dunia. Selepas tahun 1900, perladangan getah dimulakan di serata negeri dan ini membawa kemakmuran kepada penduduk. Pendapatan daripada hasil bijih timah, getah dan lain-lain barangan telah memberi dana kepada kerajaan untuk membina jalanraya, jambatan, landasan keretapi, sekolah dan hospital serta mengatasi masalah wabak malaria. Pada penghujung tahun 1904, jalanraya kelas pertama sepanjang hampir 2,400 batu telah dibina dan digunakan di serata negeri sementara perkhidmatan keretapi pula disediakan di antara Prai dan Seremban.

Pada tahun 1906, permintaan bagi getah telah naik secara mendadak apabila kereta mula dicipta kerana ia diperlukan dalam pembuatan tayar di kilang-kilang di seluruh dunia terutamanya di Amerika Syarikat. Harga pasaran getah meningkat dengan mantap dan peladangan getah menjadi industri utama di Malaya.

Pihak British seterusnya mahu menjadikan keseluruhan Malaya sebagai jajahannya dan menetapkan sempadan yang jelas di antara Siam dan Tanah Melayu. Satu perjanjian telah ditandatangani dengan Siam pada tahun 1909 di mana Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah dijadikan negeri naungan British. Negeri-negeri ini dinamakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Penasihat-penasihat British telah dihantar untuk membantu Sultan mentadbir negeri-negeri tersebut dengan teratur. Pada Tahun 1914, Johor telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak British bagi menerima khidmat Penasihat British dan menjadi sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Justeru, selepas tahun 1914, Tanah Melayu terbahagi kepada 3 unit politik iaitu : (a) Tanah Jajahan Mahkota Negeri-negeri Selat yang terdiri daripada Singapura (termasuk Pulau Krismas dan Pulau Kokos), Pulau Pinang dan Seberang Prai, Melaka dan Labuan. (b) Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. (c) Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

Kemajuan dalam pendidikan adalah perlahan, tetapi masih mantap. Sekolah-sekolah Inggeris dibina oleh Kerajaan di kebanyakan bandar. Selain itu, ada juga sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Pergerakan Kristian seperti “the Brother’s School�? dan “the Anglo-Chinese School�?. Sebuah kolej perubatan dibuka pada tahun 1910 bagi melahirkan doktor perubatan dan doktor gigi tempatan. Manakala Kolej Raffles yang merupakan institut pengajian tinggi dalam bidang seni dan sains telah dibuka pada tahun 1928. Kedua-dua kolej ini merupakan teras kepada Universiti Malaya yang dibuka pada tahun 1949.

Di Negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah Melayu bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan didirikan bagi menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk. Kolej Sultan Idris di Tanjung Malim, yang sekarang dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah menghasilkan ramai tenaga guru untuk sekolah-sekolah tersebut. Bagi kaum India pula, semua ladang-ladang estet perlu menyediakan kemudahan sekolah rendah jenis Tamil bagi anak-anak pekerja estet yang berbangsa India.

Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu berusaha keras untuk membangunkan Malaya dengan pelbagai cara. Malaya bertambah maju, di mana pendapatan bagi Negeri-negeri Selat bertambah lebih lima kali ganda dalam jangkamasa kurang dari empat puluh tahun manakala bagi Negeri-negeri Melayu pula, lebih sembilan kali ganda dalam jangkamasa yang sama. Sebahagian besar daripada pendapatan tersebut digunakan untuk membina sistem perhubungan yang mantap. Jalanraya dan landasan keretapi dibina di seluruh negara bagi menghubungkan kawasan perlombongan dan perladangan dengan persisiran pantai. Pada tahun 1937, jalanraya yang berukuran hampir 9,000 kilometer telah dibina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, 1,165 kilometer di Negeri-negeri Selat dan 2,500 kilometer di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pada tahun 1885, perkhidmatan keretapi yang pertama telah disediakan iaitu dari Taiping ke Port Weld. Pada tahun 1909, perkhidmatan keretapi telah berkembang dari Singapura ke Pulau Pinang. Di samping itu, perkhidmatan feri juga disediakan bagi menghubungkan Prai dan Pulau Pinang. Tambak Johor yang siap dibina pada tahun 1923 telah mengembangkan lagi perkhidmatan keretapi hingga ke Singapura, yang sudah pun mempunyai landasan dari Tank Road ke Bukit Timah yang dibina sejak tahun 1903. Pembangunan infrastruktur perhubungan di timur Malaya agak perlahan, namun pada tahun 1931, perkhidmatan keretapi akhirnya disediakan, menghubungkan Gemas dan Kota Bharu.

Malaria merupakan pembunuh utama di Semenanjung Tanah Melayu. Pada tahun 1898, Sir Ronald Ross telah mengesan punca penyakit ini iaitu dari nyamuk tiruk yang membiak di kawasan berpaya. Pada tahun 1901, Dr. Malcolm Watson telah menguji teori Dr. Ross dengan mengeringkan keseluruhan kawasan persekitaran bandar Kelang dan dalam masa dua tahun, Kelang bebas dari wabak malaria. Ini membuktikan bahawa malaria adalah sejenis penyakit yang boleh dikawal dan pada tahun 1920, wabak malaria telah berjaya dikawal di kebanyakan kawasan di Malaya.

Hospital telah dibina di bandar-bandar besar manakala pusat perubatan serta pusat penjagaan kanak-kanak disediakan untuk ribuan penduduk di serata kawasan bandar dan kampung. Perkhidmatan perubatan di Malaya adalah di antara yang terbaik di Asia Tenggara. Malaya juga merupakan salah sebuah negara yang mempunyai tahap kesihatan yang tertinggi di dunia. Beberapa usaha pendidikan telah giat dijalankan dari tahun 1920 hingga tahun 1940 bagi mengalakkan penduduk menggunakan kemudahan hospital. Melalui pendidikan ini, mereka dapat menghilangkan rasa takut untuk ke hospital dan mendapat kesedaran tentang manafaat yang boleh diperolehi dari teknologi perubatan Barat.

Peperangan telah meletus di Eropah pada tahun 1914 antara pihak yang dikenali sebagai Kuasa Pusat terdiri daripada German, Austro-Hungary dan Turki dan pihak yang dipanggil sebagai Tentera Bersekutu terdiri daripada kebanyakan kuasa barat seperti Perancis, Russia, Britain dan Amerika Syarikat. Peperangan merebak dari sebuah negara ke negara yang lain sehingga akhirnya hampir keseluruhan negara di dunia terlibat. Walau bagaimanapun, Tanah Melayu tidak terjejas oleh Perang Dunia Pertama kerana beberapa faktor. Faktor yang pertama adalah kerana Perancis dan Jepun yang merupakan sekutu kepada pihak British membolehkan Tanah Melayu mendapat perlindungan daripada negara-negara jiran seperti India yang merupakan jajahan British, IndoChina yang merupakan jajahan Perancis dan Formosa yang merupakan sebahagian daripada Empayar Jepun.

Faktor yang kedua adalah kerana pihak Belanda yang bersikap berkecuali menyebabkan Tanah Melayu tidak diancam oleh negara-negara Hindia Timur Belanda. Faktor yang ketiga adalah kerana tentera Jerman tidak mempunyai pengkalan yang berdekatan untuk membolehkannya menyerang atau menakluki Tanah Melayu.
Tanah Melayu terus menghasilkan pengeluaran getah dan bijih timah untuk dibekalkan kepada pihak Pakatan. Pada tahun 1915, rakyat Tanah Melayu menghadiahkan sebuah kapal perang yang diberi nama H.M.S Malaya seberat 30,000 tan dan dilengkapi dengan lapan pucuk meriam 15 inci kepada British. Walaupun Perang Dunia Pertama tidak melibatkan Tanah Melayu, namun sedikit pengalaman perang dapat dirasai ketika sebuah kapal perang Jerman iaitu Emden menenggelamkan sebuah kapal perang Russia dan sebuah bot torpedo Perancis di Pulau Pinang pada tahun 1914, dan juga ketika pasukan tentera India, iaitu Infantri Ringan Kelima (Benggali) memberontak di Singapura pada 15 Februari 1915.

Perang Dunia Kedua bermula di Eropah pada 3 September 1939. Menjelang Jun tahun 1940, Norway, Holland, Belgium, Luxembourg dan Perancis telah dijajah oleh pihak tentera Jerman, justeru, meninggalkan pihak British bersendirian menangkis kemaraan tentera Jerman. Jepun pula, yang sudah sekian lama berkeinginan untuk menguasai kawasan Asia Tenggara telah mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam peperangan ini dengan berpihak kepada Jerman pada 8 Disember 1941. Tanah Melayu tidak mempunyai kemampuan untuk menghalang kemaraan tentera laut dan tentera udara Jepun kerana kekuatan tentera British ditumpukan sepenuhnya di Eropah.

Pada 13 Disember 1941, tentera Jepun telah berada di Kedah dan memulakan kemaraan mereka ke Singapura. Tentera Jepun mendarat di Singapura pada 8 Februari dan Singapura menyerah kalah kepada Jepun pada tanggal 15 Februari 1942. Sabah jatuh ke tangan Jepun pada 19 Januari 1942 sementara Sarawak pula pada 1 April 1942. Pihak Jepun menubuhkan pentadbiran tenteranya di Malaya, yang bertahan selama 42 bulan. Penjajahan Jepun telah membawa penderitaan kepada kebanyakan penduduk. Penjajahan ini tamat apabila pihak Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos 1945. Tentera British di bawah Lord Louis Mountbatten menduduki semula Malaya pada 5 September 1945 dan Pentadbiran Tentera British ditubuhkan untuk mengurus negara ini.

1958 – 1969

Penubuhan Malaysia :

Pada tahun 1955, Singapura telah diberikan kuasa pemerintahan dalaman di bawah Perlembagaan Rendel dan David Marshall telah dilantik menjadi Ketua Menterinya yang pertama. Pada tahun 1959, Singapura yang diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (People's Action Party-PAP) di bawah pimpinan Lee Kuan Yew, telah mendapat kuasa penuh utk menubuhkan kerajaan sendiri. Di Sarawak pula, pilihanraya tempatan diperkenalkan pada tahun 1959.

Langkah pertama dalam penubuhan Malaysia bermula pada tahun 1961 apabila satu cadangan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman. Cadangan ini secara amnya diterima oleh penduduk Tanah Melayu dan Singapura, tetapi menimbulkan rasa curiga di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dibantah oleh Filipina yang telah membuat tuntutan hak ke atas Sabah. Cadangan ini juga menerima tentangan dari Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah untuk menjajah Borneo oleh Sukarno dan Parti Komunis Indonesia.

Cadangan ini bagaimanapun mempunyai kesan langsung dalam mempercepatkan penggubalan perlembagaan di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pilihanraya diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan di Sabah pada tahun 1962. Satu suruhanjaya kerjasama British-Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, telah melawat Sabah dan Sarawak pada tahun 1962 dan melaporkan bahawa kebanyakan negeri menyokong penubuhan Malaysia. Walau bagaimanapun, tentangan yang berterusan daripada Filipina dan Indonesia telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada tahun 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia.

Justeru, pada 16 September 1963, Malaysia telah secara rasminya dibentuk dan ia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei pula menolak usul untuk menyertai Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan menjadi sebuah negera yang merdeka.

Konfrontasi dengan Indonesia :
Beberapa tahun selepas penubuhan Malaysia, satu konfrontasi ketenteraan telah berlaku di antara Malaysia dengan Indonesia apabila Indonesia membuat serangan ke atas Persekutuan Tanah Melayu dan sepanjang sempadan darat Sabah dan Sarawak. Konfrontasi tersebut berakhir pada tahun 1966 dengan termeterainya satu perjanjian di Bangkok, Thailand.

Sistem politik Malaysia adalah berdasarkan konsep Parlimen Raja Berperlembagaan dengan sebuah kerajaan persekutuan yang berlandaskan model Westminister British. British telah membina dasar bagi kerajaan persekutuan di Negeri Melayu pada tahun 1895 apabila mereka berjaya memperkenalkan konsep persekutuan dengan menggabungkan pentadbiran empat buah negeri Melayu iaitu Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Pahang di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Justeru, perlembagaan Malaysia adalah berdasarkan kepada perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Apabila Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, perlembagaan Persekutuan Malaya yang sedia ada digunakan dengan sedikit pindaan dibuat bagi membolehkan kemasukan Sabah dan Sarawak.

Semenjak merdeka, Malaysia diperintah oleh sebuah Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional pada tahun 1971. Barisan Nasional merupakan satu gabungan parti politik yang telah mendapat majoriti dalam Parlimen sepanjang sembilan pilihanraya yang diadakan sejak kemerdekaan Malaysia.

Namun, pada tahun 1969, buat pertama kalinya gabungan ini gagal mempertahankan majoriti dua pertiganya. Tekanan perkauman telah mengakibatkan rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah membawa kepada penubuhan kerajaan darurat yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara. Tun Razak telah dilantik sebagai Pengarah Operasi di bawah Akta Perintah Darurat selama 22 bulan sehingga perintah Darurat dibubarkan dan Parlimen dipulihkan pada 22 September 1970. Semenjak peristiwa tersebut, sasaran utama Kerajaan merupakan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang digubal untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira bangsa dan juga untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Protosejarah Malaysia

Kerajaan terawal yang telah dikenal pasti, wujud di Lembah Bujang, Kedah sejak kurun ke-5, manakala sebuah sistem pemerintahan kecil telah diwujudkan di Santubong, Sarawak dan sebuah lagi di Chi tu di Kelantan pada kurun ke-7. Di antara kurun ke-8 hingga ke-14, beberapa penempatan telah terbentuk di Johor, Perak, Pahang dan Terengganu. Hubungan diplomatik dengan kerajaan China dan perdagangan dengan China, India dan lain-lain kerajaan di Asia Tenggara telah dibina semasa zaman kerajaan awal ini. Peninggalan yang ditemui di Lembah Bujang, Lembah Kinta di Perak, dan di Santubong menunjukkan bahawa pengaruh Hindu dan Buddha banyak mempengaruhi kehidupan penduduk di Malaysia sehingga abad ke-14. Dalam tempoh yang sama, cara kehidupan megalitik dapat dilihat di Lembah Bernam, Perak dan juga di Sabah dan Sarawak. Walaupun cara hidup Dongson didapati telah wujud dengan penemuan gendang tembaga di kawasan-kawasan yang terpencil, kebanyakan komuniti masih mengamalkan cara hidup Zaman Batu. Bukti pertama sebuah sistem pemerintahan kecil yang dikenal pasti memeluk dan mengamalkan agama Islam datang daripada sebuah batu bersurat bertarikh tahun 1301, yang ditemui di Terengganu.

Penempatan Awal

Malaysia merupakan antara kawasan penempatan terawal bagi manusia. Peralatan daripada batu yang dijumpai di Lenggong, Perak dan penemuan yang menakjubkan di Gua Niah, Sarawak telah membuktikan kenyataan tersebut. Di antara penduduk terawal yang masih ada di Malaysia hingga ke hari ini ialah Orang Asli di Semenanjung serta kaum Penan di Sarawak dan kaum Rungus di Sabah. Kehadiran mereka di negara ini berkemungkinan menjangkau lebih 5,000 tahun. Penduduk terawal ini mungkin juga merupakan golongan perintis kepada gerakan penghijrahan manusia ke arah selatan daripada China dan Tibet melalui tanah besar Asia Tenggara serta Semenanjung Tanah Melayu, seterusnya ke Kepulauan Indonesia. Penduduk pertama bangsa Melayu atau Melayu Proto dianggarkan telah bertapak di negara ini pada tahun 1000. Mereka merupakan golongan pelopor yang kedua dan ketiga di dalam gerakan penghijrahan ini. Gerakan penghijrahan ini telah diikuti oleh beberapa lagi golongan seperti Melayu Deutero sepanjang beberapa abad seterusnya. Mereka tiba dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang lebih maju dan baru dalam teknik pertanian dan penggunaan logam.

Orang-orang Melayu juga telah bertebaran di segenap pelusuk kepulauan ini, seterusnya menetap dalam kelompok komuniti kecil yang serba lengkap. Ini telah menghasilkan kepelbagaian corak etnik yang kompleks yang dapat dilihat di Malaysia dan Indonesia. Orang-orang Melayu di Semenanjung mempunyai pertalian hubungan yang rapat dengan orang-orang Melayu di Sumatera, dan untuk berabad lamanya Selat Melaka berperanan sebagai laluan yang menghubungkan mereka dari keluarga yang sama dari tempat yang berasingan dan bukan sebagai sempadan pemisah antara dua negara. Orang Melayu dan Orang Asli merupakan pribumi negara Malaysia hari ini dan diiktiraf sebagai Bumiputera. Walaupun terdapat perbezaan yang ketara di kalangan pelbagai kumpulan Bumiputera, mereka semua berkongsi ciri-ciri tertentu yang melambangkan adat resam masyarakat Asia Tenggara. Ciri-ciri tersebut telah tertanam dalam kehidupan sebagai petani dan nelayan, dan ini dapat dilihat dalam masyarakat kampung di mana kepimpinan dipilih secara muafakat. Walaupun cara hidup orang Melayu banyak dipengaruhi oleh ajaran Hindu dan kemudiannya oleh agama Islam, unsur-unsur asas budaya orang Melayu masih kekal hingga ke hari ini.

Kerajaan Melayu Lama

Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kesultanan di mana kuasa pemerintahan terletak di tangan pemerintah dan pegawai-pegawai Melayu sepenuhnya. Pemerintah Melayu di Melaka berasal dari Singapura, iaitu selepas kekalahan Kerajaan Melayu Singapura di tangan Siam. Kesultanan Melayu Melaka telah bertahan lebih dari satu abad, bermula dari penghujung kurun ke –14 sehingga permulaan kurun ke-16, iaitu dari tahun 1394 sehingga tahun 1511. Di bawah kekuasaan pemerintah Melayu, Melaka bukan hanya menjadi sebuah kota perdagangan yang maju tetapi juga merupakan pusat penyebaran ajaran Islam kepada seluruh kepulauan Melayu. Selepas kejatuhan Empayar Seri Vijaya dan Majapahit di penghujung abad ke-14, Melaka telah meneraju dan mengekalkan pemerintahan Melayu di kepulauan Melayu. Kestabilan politik dan sistem perundangan yang adil berjaya menarik para pedagang dari segenap pelusuk kepulauan Melayu ke Melaka. Para pedagang dari China, benua kecil India, Pegu di Burma dan Tanah Arab juga telah datang ke Melaka untuk berdagang.

1946 - 1957
Pentadbiran Tentera British :

Pada 14 Ogos 1945, pihak Jepun telah menyerah kalah dan pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu pun berakhir. Pendudukan Jepun, serta kekalahan British di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia dan Amerika di Filipina telah mengakibatkan keunggulan kuasa barat telah hilang atau berkurangan. Kerajaan British sepatutnya melindungi Tanah Melayu berikutan dengan satu perjanjian telah ditandatangani dengan Raja-raja Melayu di mana British telah memberi jaminan untuk melindungi negeri-negeri Melayu sebagai balasan kepada pelbagai keistimewaan dan hak yang dinikmatinya. Namun, apabila tentera Jepun menyerang Tanah Melayu, pihak British tidak menyediakan pertahanan yang cukup yang mengakibatkan Tanah Melayu tewas dengan mudah. Walau bagaimanapun, penjajahan Jepun telah menimbulkan kesedaran politik penduduk tempatan dan apabila pihak British kembali ke Tanah Melayu, satu situasi baru telah muncul.

Penubuhan Malayan Union :

Pada bulan Oktober 1945, pihak British mengumumkan satu langkah bagi menamatkan cara pemerintahan secara tidak langsungnya dengan menyatukan kesemua negeri menjadi Kesatuan Malaya di bawah seorang Gabenor yang mempunyai kuasa eksekutif. Ia juga telah mencadangkan untuk memperkenalkan kewarganegaraan Malaya yang akan memberi hak sama rata kepada mereka yang mengakui Malaya sebagai tanah airnya.

Walaupun Pulau Pinang dan Melaka merupakan sebahagian daripada cadangan Kesatuan Malaya, ia tetap akan menjadi Jajahan British. Singapura juga akan menjadi jajahan yang berasingan. Kesatuan Malaya dan Singapura akan mempunyai Gabenor, Majlis Eksekutif dan Perundangan mereka sendiri. Di bawah Kesatuan Malaya, Raja-raja Melayu akan menjadi Presiden Majlis Penasihat Melayu di negeri masing-masing, yang bertanggungjawab terhadap hal-hal keagamaan sahaja. Raja-raja Melayu dikehendaki menandatangani perjanjian baru yang akan memberikan kerajaan British kekuasaan mutlak di negeri mereka. Perlembagaan yang dicadangkan ini merupakan satu perubahan yang menyeluruh dalam dasar kerajaan British. Selama ini, Negeri-negeri Melayu tidak pernah menjadi wilayah British secara mutlak dan hanya merupakan negeri-negeri yang dilindungi British.

Pada bulan Oktober 1945, Sir Harold MacMicheal, wakil khas kerajaan British tiba di Kuala Lumpur bagi membincangkan perjanjian baru dengan Raja Negeri-negeri Melayu. Walaupun membantah, pihak Raja telah menandatangani perjanjian tersebut dan melepaskan hak kedaulatan dan kekuasaan mereka kepada Kerajaan British. Parti-parti politik dan persatuan-persatuan ditubuhkan di seluruh negara dengan tujuan menentang cadangan Kesatuan Malaya yang akan berkuatkuasa pada 1 April 1946 di mana sebuah pentadbiran kerajaan awam akan ditubuhkan.

Pada 1 March 1946 wakil daripada 41 persatuan dan pertubuhan Melayu telah membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organization-UMNO). Dato' Onn Jaafar telah dilantik sebagai Presiden yang pertama dan orang Melayu pada waktu itu buat pertama kalinya, menjadi lebih bersatu apabila memperjuangkan satu hala tuju yang dikongsi bersama. UMNO menjadi peneraju bagi penentangan orang Melayu terhadap Kesatuan Malaya. Perpaduan orang Melayu telah menjadi satu kuasa baru yang dihadapi oleh pihak British dan juga masyarakat Cina. UMNO seterusnya meluluskan satu resolusi yang mengisytiharkan bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh para Raja tidak lagi sah dan batal. Pada 31 Mac 1945, Pentadbiran Ketenteraan British dibubarkan secara rasminya.

Pada 1 April 1946, Kesatuan Malaya diwujudkan dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai Gabenor Kesatuan Malaya di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, UMNO telah menuntut agar Kesatuan Malaya dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu yang dicadangkan ini terdiri daripada sembilan buah Negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri jajahan British. Ia juga mencadangkan agar seorang Pesuruhjaya Tinggi dan bukannya seorang Gabenor, dilantik sebagai wakil Kerajaan British. Cadangan tersebut juga menetapkan bahawa selain daripada orang Melayu, hanya generasi kedua orang Cina, India dan lain-lain bangsa yang berhak mendapat taraf kewarganegaraan persekutuan. Justeru, Kesatuan Malaya telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Januari 1948.

Persekutuan Tanah Melayu

Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk bagi menggantikan Kesatuan Malaya setelah beberapa siri perbincangan diadakan di antara Raja-raja Melayu dan lain-lain pihak yang terlibat. Persekutuan yang baru ini terdiri daripada kesemua sembilan Negeri-negeri Melayu di Semenanjung, bersama Melaka dan Pulau Pinang. Persekutuan Malaya berada di bawah pentadbiran sebuah kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur yang diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British.

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Pembubaran Kesatuan Malaya pada tahun 1948 telah memaksa pihak British untuk membuka jalan bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Akibat daripada dua tekanan utama yang terdiri dpd peristiwa Darurat dan juga perkembangan p'gerakan nasionalis Melayu iaitu UMNO, pihak British memperkenalkan sistem pilihanraya pd tahun 1951 di peringkat tempatan.

Masalah dalam mendapatkan kerjasama politik daripada kumpulan etnik utama di negara ini dalam memperjuangkan kemerdekaan berjaya diatasi dengan pembentukan pakatan di antara UMNO dan Persatuan Cina Malaya (Malayan Chinese Association-MCA) dan kemudiannya disertai oleh Kongres India Malaya (Malayan Indian Congress-MIC). Ketika pilihanraya persekutuan yang pertama diadakan pada tahun 1955, pakatan UMNO-MCA-MIC yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah memperolehi kemenangan yang besar dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Persekutuan Malaya. Pakatan tersebut telah berjaya memaksa British untuk melepaskan kuasa pemerintahan mereka dan pada 31 Ogos tahun 1957, Persekutuan Malaya telah mencapai kemerdekaannya.

1970-an sehingga Sekarang

1970-an :

Tun Abdul Razak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri setelah persaraan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 22 September 1970. Perkembangan ekonomi yang dicapai pada tahun 1970-an membolehkan pentadbiran Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, yang mengambil alih selepas kematian Tun Abdul Razak pada tahun 1976, mencapai tahap kemajuan yang membanggakan. Malaysia juga telah menggubal dasar-dasar luar negara yang lebih terbuka yang membawa kepada pembentukan Asean pada tahun 1967. Malaysia juga mengiktiraf negara komunis China pada tahun 1974 dan meletakkan Negara bersama negara-negara berkecuali dari dunia ketiga.

Dasar Ekonomi Baru telah diberi nafas baru di bawah teraju Tun Hussein Onn. Skim Amanah Saham Nasional mula diperkenalkan untuk membolehkan golongan bumiputera melabur di dalam pasaran saham. Saham Amanah tersebut diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Tahun 1980-an telah membawa arah baru dalam arena politik dan cabaran ekonomi. Dato Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn pada 17 Julai 1981 telah mengambil langkah berani dengan mengembangkan dasar ekonomi dalam bidang industri berat seperti pelaksanaan projek kereta nasional, penapisan minyak dan perusahaan besi.

Perusahaan Kereta Nasional. Pada mulanya projek kereta nasional dijalankan secara usahasama di antara Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON), HICOM Berhad, Mitsubishi Motors Corporation dan Mitsubishi Corporation. Pada 9 Julai 1985, kereta Proton Saga yang pertama telah dikeluarkan. Kereta Proton telah mencapai tahap jualan paling laris dalam pasaran kereta penumpang di Malaysia dan juga di luar negara sejak tahun 1990.

Beberapa projek telah dibangunkan pada tahun 1990-an dan antaranya ialah projek Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Airport-KLIA).

Menara Berkembar Petronas : Projek Menara Berkembar Petronas telah dilancarkan pada 15 September 1992 bersama dengan projek Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (Kuala Lumpur City Centre-KLCC). Menara berkembar ini mempunyai 88 tingkat di setiap menara dengan ketinggian 451.9 meter. Justeru, ia telah diiktiraf oleh “The Council on Tall Buildings and Urban Habitat�? sebagai bangunan tertinggi yang baru di dunia, menjadikannya sebagai satu mercu tanda dunia yang terletak di Kuala Lumpur.

Menara Kuala Lumpur : Menara Kuala Lumpur yang terletak 94 meter di atas paras laut dan mempunyai ketinggian 421 meter telah diiktiraf sebagai menara komunikasi yang ketiga tertinggi di dunia dan yang tertinggi di Asia. Menara Kuala Lumpur merupakan sebuah menara komunikasi bagi Malaysia dan dilengkapi dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan teknologi yang kian meningkat di negara ini. Ia telah menjadi pusat tarikan pelancong kerana keunggulannya sebagai salah satu mercu tanda bagi bandaraya Kuala Lumpur dan juga negara. Menara ini merupakan satu kebanggaan yang baru bagi penduduk Malaysia dan menjadi satu ukuran kepada kemajuan negara dalam menuju Wawasan 2020.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) : Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di Sepang, 75 kilometer di selatan Kuala Lumpur. Ia mula beroperasi pada bulan Jun 1998 dan merupakan lapangan terbang terbesar di Asia dengan keluasan yang mencecah 100 kilometer persegi. KLIA dibina bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara kepada 125 juta pengguna untuk 100 tahun yang akan datang.

Koridor Raya Mutimedia (Multimedia Super Corridor-MSC) : Satu lagi pencapaian Malaysia dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang berteknologi tinggi dan berindustri menjelang tahun 2020 ialah dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC). Ia dibangunkan bagi membantu usahawan muda dan syarikat-syarikat yang baru bertapak yang memerlukan tunjuk ajar dan sokongan. Tapak Inkubator MSC yang seluas 7.65 ekar terletak di dalam kampus Universiti Multimedia. Pusat Inkubator MSC pula terletak di Cyberjaya, sebuah bandar bistari yang bersebelahan dengan bandar pusat pentadbiran kerajaan iaitu Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Make Money With CashCrate

t muslimah