SeDaRI HaKiKaT DuNia HaRi iNi

Make Money With cashCrate - Join me!!

Kehidupan adalah anugerah utama Ilahi. Anugerah khdupan ini memberi gambaran kebesaran-Nya buat kita semua. Anugerah ini wajib kita syukuri dan haragai. Internet adlh kemudahan buat umat manusia yg tdk kira umur, pangkat, agama, bangsa, Negara dan yg sewaktu dgnnya. Justeru itu, manfaatkanlah ia utk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat. Sentiasalah kita beringat bhw apa shja yg kita lakukan akan dip't/jawabkan pda kemudian hari.


Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt kpd kita. Halalkan kegunaan akal. Hati dan lidah pda perkara yg bakal membawa kpd kecemerlangan diri kita samaada di dunia mahupun di akhirat. Kita hidup hanya sekali. Sekali ‘pergi’ tak akan ‘kembali’. Bak pepatah melayu,’buat baik berpada-pada dan buat jahat JANGAN sekali’. Kewujudan website ini dgn blog sbg wadah utk meningkatkan nilai diri. Bermatlamatkan penyatuan ummah dgn ciri-ciri kemurnian budi dan budaya. Walaupun dunia terus maju dgn teknologi, kita seharusnya terus mengekalkan akhlak dan jati diri insani.

Monday, July 26, 2010

TERENGGANU KU..

Kedudukan Geografi Dan Penduduk

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan ; manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.

Keluasan negeri Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu ; Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut Dan Setiu. Daerah dalam Negeri Terengganu dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu Dan Besut. Kemudiannya pada 1 januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadikan ketujuh di negeri Terengganu. Tiap-tiap daerah ini di tadbirkan oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut : Kuala Terengganu,60,654.3 hektar ; Kemaman, 253,559.9 hektar ; Dungun, 273,503.1 hektar ; Marang, 66,654.3 hektar ; Hulu Terengganu, 387,462.6 hektar ; Setiu, 130,436.3 dan Besut, 123,367.8 hektar. Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942. Pada tahun 1963 berjumlah 339.816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlah seterusnya meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini (1998 ) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India.

Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil petrolium menguatkan lagi ekonomi negeri.

Asal Usul Nama Terengganu

Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".

Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.

Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Kedatangan Islam

Setakat ini tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh atau tahun dan dari mana kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun ini disetujui setakat ini tercatat di Batu Bersurat dan bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut. Dengan ini bermakna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembangan Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis batu bersurat menulis jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik di sini, Terengganu adalah negeri yang terawal di Malaysia mengkanunkan undang-undang Islam.

Dalam pada itu terbukti pada kurun ke – 16 Sharif Muhammad Al-Baghdadi sudah berada di Kuala Berang. Kehadiran beliau ini sudah pasti ada kaitan dengan Agama Islam dan perdagangan. Beliau meninggal dunia di Batu Belah, Kuala Berang. Keturunan beliau, Abdul Malik bin Abdullah ( lebih dikenali sebagai Tuk Pulau Manis ) meneruskan kegiatan keagamaan di Terengganu. Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Mekah dan Madinah, di sekitar tahun 1690 Abdul Malik pulang ke Terengganu dan mengajar ilmu agama di Kuala Berang.

Sejarah Awal

Sejarah awal Terengganu adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang. Dalam Negarakartagama, tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah terdapat manusia tinggal di situ sejak 4,000 tahun sebelum masihi. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.

Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor ; Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama dihantar memerintah Terengganu. seterusnya Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera. Kemudiannya oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail. Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.

Kesultanan Terengganu

Pengasas Kesultanan Terengganu pada hari ini ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan panggilan Bendahara Padang Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.

Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah ( bersamaan tahun 1708 ). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang ( kini dipanggil Kota Lama ).

Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746 – 1760 ) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur di gantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808 ). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 – 1830 ), Sultan Abdul Rahman ( 1830 ), Sultan Daud ( 1830 – 1831 ), Sultan Mansur II ( 1831 – 1837 ), Sultan Muhammad ( 1837 – 1839 ), Baginda Omar (1839 – 1876 ). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.

Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II ( 1876 –1881 ). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III ( 1881–1918 ). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II ( 1918 – 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ).

Menurut Warta Chahaya Timor No. 38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai " Pemangku Sultan Sementara " oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran " Sultan " pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.

Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada pukul 9.00 pagi Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke – 6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.

Menghadapi Kuasa Siam

Kerajaan Siam menuntut Terengganu sebagai naungannya. Bunga Emas dan Bunga Perak yang dihantar oleh Terengganu tiap-tiap 3 tahun sekali dijadikan bukti kuasa Siam ke atas Terengganu. Namun sebenarnya Bunga Emas pertama kali dihantar pada tahun 1781, di masa pemerintahan Sultan Mansur Shah I sebagai tanda balasan hadiah yang diberikan oleh angkatan Siam kepada Sultan Mansur Shah I, kerana membantu angkatan Siam menyerang dan mengalahkan Legor pada tahun 1766.

Sultan Zainal Abidin III ( 1881 – 1918 ) menjelaskan kepada Gabenor SIR Frederick Weld yang datang melawat Terengganu pada tahun 1886 dan 1887, Bunga Emas yang dihantar ke Siam hanya sebagai tanda persahabatan dan bukannya sebagai ufti. Oleh kerana dakwaan Inggeris yang mempunyai hak ke atas Terengganu, kerajaan Siam telah menyerahkan Terengganu kepada Great Britain melalui perjanjian Bangkok 1909. Namun begitu kerajaan Terengganu dibawah Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini. Dengan itu perjanjian di antara Terengganu dengan Great Britain ditandatangani pada tahun 1910. Di antara syarat perjanjian ini, Terengganu menerima Wakil British.

Menghadapi Kuasa British

Pada tahun 1862, angkatan British di bawah Kolonel R. Macpherson membedil Kuala Terengganu. Pembedilan ini dilakukan kerana British mengesyaki Terengganu memberi bantuan kepada Wan Ahmad menentang abangnya Bendahara Wan Mutahir Pahang pada tahun 1857 – 1863. Hasrat British campurtangan di Terengganu akhirnya tercapai melalui Perjanjian Bangkok yang ditandatangani oleh Kerajaan Siam dan Great Britain pada 10 Mac 1909. Dengan berkuatkuasa perjanjian ini, Kerajaan Siam menyerahkan Terengganu kepada British.

W.L.Conlay dilantik sebagai Ejen British yang pertama di Terengganu. Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini dan tidak menerima perlantikan W.L.Conlay. Pertelingkahan Perjanjian Bangkok 1909 akhirnya selesai apabila Terengganu bersetuju menandatangani dengan Great Britain pada 22 April 1910. Dengan berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu menerima secara rasminya perlantikan Ejen British.

Walaupun demikian, Ejen British tidak mempunyai kuasa di dalam pentadbiran negeri Melayu yang bebas. Seterusnya pada tahun 1911, Kerajaan Terengganu meluluskan Ubdang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan Terengganu adalah negeri Melayu dan Islam.

British yang tidak puas hati dengan kedudukannya di Terengganu terus menjalankan usaha untuk melibatkan dalam pentadbiran Terengganu. Pada akhirnya British berjaya melalui perjanjian 24 Mei 1919. Perjanjian ini ditandatangani oleh Sultan Muhammad yang menggantikan ayahandanya Sultan Zainal Abidin III. Berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu buat pertama kalinya menerima Penasihat British. Dalam artikel 11 Perjanjian ini dicatatkan bahawa Sultan Terengganu akan menerima Penasihat British, menyediakan tempat kediaman di Terengganu dan nasihatnya hendaklah diminta serta diikuti dalam semua perkara pentadbiran kecuali Agama Islam.

Tentangan Terhadap British

Penglibatan British dalam pentadbiran Terengganu dan diikuti dengan pengenalan peraturan baru membangkitkan tentangan pada tahun 1922,1925 dan 1928. Gerakan tentangani ini dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid ( lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong ) dan disokong oleh penduduk Terengganu. Mereka yang terlibat dalam tentangan ini menyifatkan British dan segala peraturan baru yang diperkenal dan dikuatkuasakan ( selepas British campur tangan dalam pentadbiran Terengganu ) adalah peraturan kafir.

Haji Abdul Rahman Limbong telah dibawa ke muka pengadilan. Beliau didapati bersalah dengan menyebarkan ajaran sehingga mencetuskan kebangkitan 1928. Di atas nasihat Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad, beliau dijatuhkan hukuman buang negeri ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia kerana sakit di Mekah pada 6 November 1929.

Kesedaran dan Perjuangan Kemerdekaan

Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran dan perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuhkan didaftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. Matlamat perjuangan Kesatuan Melayu Muda ialah menghindar orang Melayu daripada diperas oleh penjajah dan melahirkan semangat kebangsaan. Juga ingin membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia mewujudkan " Melayu Raya " atau " Indonesia Raya ".

Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di sekitar tahun 1940 – 1941 ke seluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu. Pertemuan Ibrahim Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad; Setiausahanya pula ialah Ibrahim bin Muhamad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang terlibat dalam pengasasan KMM di Terengganu ialah Muda bin Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin. Kemudiannya KMM berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam pembentukan KMM Besut ialah Mohamad Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail dan Syeikh Ali bin Mohammad.

Pada tahun 1940 beberapa orang pepimpin KMM seperti Ibrahim Haji Yaacob dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ), di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan dripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.

Pada tahun 1942 – 1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbir oleh Tentera Jepun, 1942 – 1943 dan Pentadbiran Tentera Thai,1943 – 1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan diatas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji (Gabenor). Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama, pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Guji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah) & Pejabat Sangyo-bu (Pejabat perniagaan) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).

Kemudiannya dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943 ( 15 Oktober 2603 ), Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran. Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada kerajaan Thai pda pukul 11.50 pagi, 18 Oktober 1943 ( 18 Oktober 2486).

Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley. Sementara itu Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan KMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terengganu ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif. Apabila Ibrahim Fikri menyertai PKMM, setelah dibebaskan daripada tahanan pada April 1946, beliau dilantik sebagai Ketua PKMM. Berikutnya pada tahun 1947, beliau dilantik menganggotai Majlis Tertinggi Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua, Salleh bin Muhammad sebagai Setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah sebagai Bendahari.

Cawangan PKMM Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan oleh Yusof bin Embong dan rakannya Mohd Senari Yunos, Wan Hassan bin Muda dan Mohd Noor bin Ismail pada tahun 1947. PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad. Angkatan Wanita Sedar cawangan Kuala Besut dengan Wan Zainun sebagai setiausahanya, dirasmikan penubuhannya di Kuala Besut pada tahun 1947. Di samping itu terdapat juga Persatuan Melayu Terengganu, Persatuan Melayu Besut, Persatuan Melayu Kemaman dan Persatuan Melayu Kemasik. Pada tahun 1947, Persatuan Melayu Terengganu dipimpin oleh Tengku Muhammad Pahang dan Persatuan Melayu Besut dipimpin oleh Tengku Lela Segera bin Tengku Nara Di Raja. Persatuan Melayu Kemasik pula dipimpin oleh Muhammad bin Jusoh.

Pada tahun 1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan Malayan Union mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan peranan menentang Malayan Union. Terengganu juga turut melancarkan tunjuk perasaan menentang Malayan Union pada 24 Januari 1946. Persatuan Melayu Kemaman, Terengganu menghantar kawat kepada Pengerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres se Tanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( atau UMNO ). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 dalam kongres yang berlangsung di Johor Bahru pada 11 – 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama. Berikutnya cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu, termasuk Terengganu. menyedari adanya tentangan maka Kerajaan Bitish mengambil sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan baru.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948 dan Kerajaan British pula diwakili oleh Sir Gerard Edward James Gent. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah kerajaan sendiri. Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu akan diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council ) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihan raya Majlis Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953. Tiga kerusi diperuntukkan dalan pilihan raya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Kemudiannya pilihan raya diadakan, ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.

Perkembangan ke arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 September 1954, pengisytiharan mengenai pilihan raya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri BesarTerengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihan raya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan. Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding.

Calon Perikatan yang menang tanpa bertanding ialah Encik Zainal Abidin bin Mohamed Amin, kawasan Hulu Besut dan Encik Mohamed Taha bin Embong,kawasan Paka- Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Pesekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon Bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.

Kemudiannya ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu. Mereka yang dipilih ialah Dato’ Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Haji Mohamed. Kemudiannya Dato’ Perwira Negara Haji Ali bin Long menarik diri daripada menjadi calon pilihan raya Persekutuan 1955. Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu Tengah. Che Ibrahim Fikri menentang Encik Muhammad Salleh bin Ahmad calon Parti Negara. Engku Mohsein bin Abdul Kadir; calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh, Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan. Dalam pilihan raya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam pilihan raya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam SeMalaya ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak. Kini Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

No comments:

Post a Comment

Make Money With CashCrate

t muslimah